Selama ini saya tak pernah tahu apa kelebihan mempunyai anak yang menghafal Al-Quran (30 juzuk) sehinggalah saya mendengar taklimat dari Mudir Madrasah An Nuur 2 minggu lepas iaitu pada 3 Januari 2015.Sebab sebelum ini saya memang tak terfikir nak menghantar anak ke tahfiz kerana bagi saya macam mustahil nak hantar anak ke sana kerana saya terfikir mampukah anak saya menghafal 30 Juzuk Al Quran ? (rupanya sangkaan itu merupakan "block" yang sepatutnya saya robohkan dari dulu lagi).
Sehinggalah seorang hamba Allah datang kepada suami bercerita tentang anak-anaknya di Madrasah An Nuur barulah minda kami suami isteri "terbuka" walaupun sebelum itu sebenarnya dah ada orang lain (seorang doktor) yang menggalakkan kami hantar anak ke tahfiz.
Sebahagian pelajar tahfiz Madrasah An Nuur bersama Mudir.
Alhamdulilah, Allah hantar seseorang untuk kami terima dan terbuka untuk menghantar anak ke Tahfiz.
Kelebihan atau ganjaran itu terbahagi kepada dua iaitu di dunia dan di akhirat.
Ganjaran di dunia
1.Penghafaz al-Quran merupakan VVIP Allah S.W.T di dunia.
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia.
Lalu mereka bertanya :
Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
2.Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
3.Penghafaz al-Quran mendapat certificate (pengiktirafan) dari Nabi S.A.W.
“Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)
4.Al-Quran menjanjikan kebaikan.
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat
1.Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.
Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini. (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
2.Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong)
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)
3.Penghafaz al-Quran mendapat bonus berlipat kali ganda.
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf (Riwayat Tarmizi)
Hebatkan ganjaran yang Allah berikan buat penghafaz al-Quran serta ibu bapanya.
Marilah kita berdoa agar dalam keluarga kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang penghafaz al-Quran.
No comments:
Post a Comment